salji

Saturday, 18 February 2012

Asma Wanita mulia lagi tabah 
 
Asma’ puteri Abu Bakar wanita mulia lagi tabah. Saat Rasul dan ayahandanya bersembunyi, Asma’ cekal membawa makanan sehari-hari dari Makkah ke Gua Thur. Jika diukur menggunakan Google Maps pada hari ini, jaraknya lebih kurang 10 km. Bayangkan dalam keadaan tidak selamat dengan musuh ada di mana-mana, Asma’ berani menempuh padang pasir. Malah diambilnya jalan yang sukar berbukit bukau agar tidak dikesan musuh.

Kalau saya seorang begitu di sini, mungkin sudah cuak membayangkan Irish mabuk membaling botol arak tatkala berjalan bersendirian. Belum dikira anak dole yang memandang tajam dan mungkin bakal dibaling batu atau telur.

Tetapi Asma’ wanita mulia berjiwa besar. Demi cinta kepada Allah dan Rasul-Nya.

Malah, ada suatu ketika Abu Jahal separuh gila mengetuk pintu rumah Abu Bakar dan Asma’, dengan lantang membangkang. Diceritakan bahawa Abu Jahal menampar Asma’ sehingga terpelanting anting-anting wanita itu. Diperlakukan sebegitu rupa pun, Asma’ masih kuat mempertahan Rasul Allah dan bapanya sehingga Abu Jahal sendiri berlalu dari rumahnya. Berani, sungguh berani.

Kisah Asma’ diangkat mewangi hingga ke syurga apabila Rasulullah mendoakan agar Asma’ mendapat dua tali pinggang di Taman Abadi. Apa lagi pengiktirafan yang agung bagi seorang hamba melainkan pengiktirafan syurga? Saya jadi cemburu nan amat kepada Asma’, didoakan Kekasih Allah sedemikian rupa.

Asma’ berkahwin dengan Zubayr al-Awwam yang miskin harta namun kaya jiwa. Malah, Urwah putera mereka menceritakan betapa Asma’ sanggup hidup bersusah payah dengan suaminya. Maka, nilailah kembali diri kita sebagai wanita, seorang (bakal) isteri; sudahkah bersedia jiwa raga berkongsi baik dan buruk, susah dan senang bersama (bakal) suami kelak?

Kisah Asma’ semakin mahsyur apabila anaknya, Abdullah ibn Zubayr ditawan Hajjaj ibn Yoosuf setelah perang di Makkah. Malah Hajjaj lagi menyuruh agar Abdullah dipasung dan Hajjaj yang hina berjanji tidak akan membebaskan Abdullah sehingga ibunya Asma’ datang merayu kepada Hajjaj. Ini semua kerana ingin menjatuhkan maruah Asma’!

Ibn as-Sakan menceritakan bahawa Asma’ hanya bertemu anaknya dalam keadaan tidak bernyawa. Asma’ berdiri di hadapan Hajjaj dengan berani sehingga lelaki itu sendiri mengalah dengan ketabahan dan keberanian Asma’. Sayang ibu membawa ke syurga …

… dan Asma’ menghadap Ilahi beberapa hari setelah pembunuhan anaknya, Abdullah ibn Zubayr.

Ini kisah wanita penuh citra, penuh Cinta, Asma’ Abu Bakar. Ingin sekali meneladani wanita di zaman Rasulullah, wanita yang mendapat tarbiyyah langsung daripada kekasih Allah.

Doakan saya juga begitu. Menjadi sekuat, setabah dan seberani Asma’. Apalah bandingnya kesakitan diri yang sedikit dengan nikmat syurga kurniaan Ilahi.
Moga Cinta memandu tingkah kita sehari-hari.


No comments:

Post a Comment